DISQUS SHORTNAME

Sabtu, 2 Mei 2020

9 Ayat Al-Quran Yang Menggalakkan Umat Manusia Untuk Travel


Ramai umat Islam mengetahui mengenai perintah solat, mengeluarkan dan mengerjakan haji. Namun tidak ramai yang memahami bahawa Allah taala juga memerintahkan umat islam untuk berjalan di muka bumi ini.

Inilah senarai 9 ayat dari quran yang menyebut tentang kembara dan berjalanlah di muka bumi ini:

1) Surah Al-Mulk ayat 15 



“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula”.


2) Surah Muhammad Ayat 10



Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.
3) Surah Luqman Ayat 31


Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.

4) Surah Yusuf Ayat 109

Dan tiadalah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?

5) Surah Ar-Rum Ayat 42
Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.

6) Surah Ali 'Imran Ayat 137

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).

7) Surah Ar-Rum Ayat 9

Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-Rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

8) Surah An-Naml Ayat 69

Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu.

9) Surah Al-An'aam Ayat 11

Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul) itu.

Pengajaran terpenting yang boleh diambil daripada ayat di atas ialah:

i) Daripada ayat diatas, menunjukkan bahawa dunia ini merupakan satu hamparan luas terbentang yang perlu diterokai oleh sekalian manusia.
Bumi ini diciptakan untuk manusia dengan pelbagai kenikmatan antaranya ialah mengembara dengan tujuan melihat keindahan alam.

ii) hanya orang islam yang mahu berfikir dan mengambil pelajaran sahaja yang mampu mengambil manfaat daripada sesuatu perjalanan

iii) Allah telah berfirman di dalam Al-Quran dan menggalakkan umat manusia supaya berkelana ke setiap pelusuk dunia. Malah ada lebih daripada satu ayat di dalam Al-Quran yang menyebut perkataan "berjalanlah" atau "mengembaralah" di muka bumi. Pengembaraan dan perjalanan dapat menambah iman dan takwa melalui kebesaran alam ciptaanNya.

iv) Islam sejak awal pengajarannya menggalakkan seseorang mengembara untuk menimba ilmu pengetahuan. Allah menegaskan manusia supaya melihat alam yang pelbagai rupa, melihat kesan-kesan kaum yang terdahulu, berkenalan antara bangsa, dan pelbagai lagi. Umat islam digalakkan mengembara melihat peninggalan kesan sejarah daripada umat terdahulu dan mengambil pelajaran daripadanya.

Kesemuanya itu bertujuan meningkatkan pengetahuan insan tentang kehidupan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan. Ada banyak perkara yang Tuhan suruh kita tengok di Bumi ini. Bukanlah sekadar tengok dengan mata kepala saja, tetapi pandanglah dengan mata hati. Setiap ciptaan-Nya pasti ada kegunaan. Setiap yang kita lalui dan temui juga pasti ada hikmah. Yang paling Dia mahu kita tengok ialah kesan tinggalan orang-orang terdahulu yang musyrik, iaitu apa yang berlaku kepada orang-orang yang bongkak, sombong, dan mendustakan Dia.

Tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia. Ada yang mahu Dia beritahu melalui setiap perkara yang dijadikan oleh-Nya. Rujuk kisah pengembaraan ilmu ulama zaman silam, malah zaman sekarang. Berkelana jauh meninggalkan keluarga tanpa wang yang banyak, kerana mahu jadi hamba Allah yang lebih baik.

Pengembaraan yang bernilai tinggi hanyalah yang dilakukan demi Dia. Semakin banyak tempat dijejak, semakin tunduk. Semakin banyak pengalaman dilalui, semakin rendah rasa diri. Semakin banyak dipelajari, semakin bodoh dirasakan. Kitab-kitab Islam terdahulu mencatatkan kembara para ilmuwan dalam usaha menuntut ilmu. Setiap ilmuwan pasti ada catatan mengenai kembara mereka. Melalui kembara juga melonjakkan nama mereka dalam bidang ilmu. Kembaralah dengan tujuan dan niat yang baik, semoga melalui kembara akan menambah iman, ilmu dan juga amalan.

Kredit: ubah suai dari penulisan Fb Narma Hamzah

Cari

Like Us

Hot in week

Recent

Comments

Follow Instagram

Translate

archive