MANILA: Pusat peranginan terkenal, pulau Boracay Filipina dibuka semula kepada pelancong hari ini dengan peraturan baru yang lebih ketat.
Pulau yang pernah menggamit pelancong dari seluruh dunia itu ditutup selama enam bulan bagi membaiki kerosakan akibat kebanjiran pelancong yang tidak terkawal.
Mengikut peraturan baru, hanya 19,200 pelancong akan dibenarkan di pulau itu pada satu-satu masa. Kerajaan cuba mencapai sasaran itu dengan mengawal bilangan bilik hotel yang sedia ada.
Hampir 400 hotel dan restoran yang dianggap melanggar undang-undang alam sekitar tempatan sudah diarah tutup dan syarikat penerbangan serta feri diberitahu untuk mengehadkan perkhidmatan ke kawasan itu.
Pelancong turut dilarang minum minuman keras dan merokok di pantai selain menganjurkan pesta-pesta yang digelar ‘LaBoracay’ yang pernah menarik puluhan ribu pelancong.
Pada April lalu, Presiden Rodrigo Duterte mengarahkan pulau berkenaan ditutup sebagai usaha besar-besaran bagi memulihkan kemudahannya, selain mengekang pembangunan melampau sehingga ia digelar ‘loji kumbahan’.
Kesemua langkah ini bertujuan melindungi keindahan laut dan kualiti pasir pantai yang dikatakan antara faktor yang menggamit jutaan pelancong setiap tahun.
Minggu lalu, setiausaha Pelancongan, Bernadette Romulo-Puyat, berkata beliau berharap imej pulau Boracay yang baharu itu akan membuka ‘budaya pelancongan lestari’ di Filipina.
Pulau Boracay pernah dikategorikan majalah pelancongan sebagai antara pantai terbaik di dunia.
Tarikh: 26 Oktober 2018
sumber: https://www.hmetro.com.my/global/2018/10/389812/pulau-boracay-perkenal-peraturan-lebih-ketat?fbclid=IwAR2r-tuko7OMZnBpmbLleYwBsGynQxqgREfoZL-x_sgegEeh4W0Kh-1seRQ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan