DISQUS SHORTNAME

Isnin, 4 Februari 2019

Umrah diy risiko ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa rakyat Malaysia supaya tidak mengatur sendiri urusan mengerjakan umrah, sebaliknya perlu melalui agensi pelancongan berdaftar.
Ketua Setiausaha Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata demikian ketika memberi penjelasan berhubung isu membabitkan E-Umrah.
“Saya mahu jelaskan bahawa rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan umrah perlu mendapatkan visa daripada agensi pelancongan berdaftar dengan kementerian, dan disahkan sebagai rakan muassasah kepada Kedutaan Arab Saudi.
“Tolong jangan lakukan perancangan mengerjakan umrah DIY (secara sendiri) kerana kamu boleh ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi jika tidak mengikut prosedur,” katanya selepas melancarkan konvoi motosikal Jelajah Harapan 2019 JB-Dubai di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, hari ini.
Rashidi berkata, terdapat kekeliruan kerana segelintir individu menganggap mereka boleh memohon untuk perjalanan umrah secara dalam talian menerusi E-Umrah, dan mengabaikan keperluan lain.
“Saya tahu, kita menganggap lebih mudah berurusan secara dalam talian, maka kita tidak perlu lagi berurusan dengan agensi pelancongan berdaftar.
“Rakyat Malaysia perlu mematuhi garis panduan sedia ada dan menerusi saluran yang betul,” katanya.
Terdahulu, konvoi motosikal dengan enam penunggang dari Johor diketuai Sani Abdul Rahman itu akan melalui tujuh negara iaitu Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
Sani berkata, program itu menjadi kenyataan hasil kerjasama BMW Motorrad Malaysia.
“Kami memulakan perjalanan dari Johor Bahru dan berhenti di Kuala Lumpur untuk majlis pelancaran ini, sebelum bergerak ke Thailand,” katanya.
Sepanjang jelajah itu, enam penunggang terbabit juga akan mempromosikan Minggu Motosikal Antarabangsa Johor 2019, dan mereka mewakili Malaysia sebagai duta bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
“Tempoh keseluruhan jelajah ini dijangka mengambil masa sebulan dan kami berharap akan selamat pulang pada 5 Mac,” katanya.
Rashidi berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi sokongan kepada semua penunggang itu kerana mereka dapat membantu mempromosikan negara serta menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Semua penunggang motosikal dalam jelajah ini adalah duta kecil kita kerana mereka boleh mempromosi negara kita sebagai destinasi pelancongan menerusi laluan darat.
“Sasaran kami tahun ini adalah untuk membawa masuk 28.1 juta pelancong ke Malaysia, dan menjana RM92.2 bilion pendapatan pada negara,” katanya.
Rashidi memberi jaminan kementeriannya akan mempromosikan semua program yang boleh menyumbang kepada sasaran itu, seperti jelajah motosikal terbabit.
“Semua penunggang motosikal ini akan mengambil gambar sepanjang perjalanan mereka yang boleh menghangatkan media sosial dan membantu sasaran kita,” katanya.
Tarikh: 2 Februari 2019
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/526886/arab-saudi-boleh-tangkap-rakyat-malaysia-buat-umrah-diy?fbclid=IwAR3FBvRMQA-24A8mq3MUIPoq6iwclC3GPig9HBF07pyV2no2Js0AZfOW2iw

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Like Us

Hot in week

Recent

Comments

Follow Instagram

Translate

item