DISQUS SHORTNAME

Isnin, 20 Mei 2019

PTPTN pertimbangkan semula sekatan ke luar negara

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.
Dalam taklimat media bersama pentadbiran tinggi PTPTN hari ini, termasuk pengerusi Wan Saiful Wan Jan, perbadanan itu sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.
Menurut Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.
Sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran, jelas Mastura kepada wakil media.
"Lebih daripada dua pertiga peminjam PTPTN yang gagal bayar balik pinjaman, mula membayar balik selepas pihak kami mengenakan sekatan perjalanan. Daripada satu juta peminjam yang gagal membayar balik hutang, 684,000 daripadanya membuat kembali melunaskan bayaran pinjaman, hanya 332,000 sahaja yang masih tidak membuat sebarang pembayaran.
"Bagaimanapun, kaedah ini dihentikan kerana ia menyebabkan kesulitan (kepada peminjam yang mahu melakukan perjalanan ke luar negara) kerana mereka dihalang (daripada meninggalkan negara) di pintu keluar sempadan.
"Kini, (antara) cadangan yang kami terima untuk PTPTN, peminjam yang tidak membuat bayaran dilarang memperbaharui pasport, lesen memandu, cukai jalan dan juga menyiarkan gambar mereka di khalayak ramai serta menyenarai hitam ahli keluarganya daripada pinjaman pendidikan PTPN," katanya lagi.
Pada 26 Jun, Wan Saiful mengumumkan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang ingkar ditarik balik. Sebanyak 429,945 peminjam PTPTN yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen turut dibatalkan.
Menghapuskan dasar menyenarai hitam peminjam PTPTN yang tidak membayar hutang merupakan antara manifesto PH untuk Pilihan Raya Umum Ke-14.
Janji lain mengenai PTPTN adalah menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam yang memperoleh gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.
Menurut Wan Saiful, PTPTN sedang mengumpul maklumbalas daripada orang awam berkenaan cadangan-cadangan yang diterimanya buat masa ini dan akan membawanya ke mesyuarat kabinet bagi mendapatkan keputusan muktamad.
Jelas Wan Saiful lagi, badan tersebut turut mengalu-alukan orang ramai memberi pandangan melalui tinjauan atas talian, yang akan dibuka kepada umum pada lewat petang hari ini sehingga 13 Jun 2019.
Sesiapa yang berminat untuk memberi maklum balas terhadap hal ini boleh melayari laman PTPTN 'Konsultasi Rakyat'.
"Semasa sesi urus libat (bersama para pemegang taruh), terdapat perbincangan mengenai keberkesanan sekatan perjalanan. Terdapat juga pandangan bahawa kaedah tersebut perlu diteruskan terhadap peminjam yang 'liat membayar hutang' bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab.
"Namun, kami akan mengambil pendirian sederhana dalam rundingan ini. Kami mengumpul kesemua cadangan daripada rakyat dan kemudian kerajaan akan membuat keputusan.
"Sekiranya, cadangan sekatan perjalanan turut diterima dalam Konsultasi Rakyat, kami akan membawanya ke kabinet," kata Wan Saiful.
PTPTN mungkin tak wujud 20 tahun lagi
Dalam taklimat hari ini, Mastura turut menjelaskan sejarah PTPTN dan unjuran hutang dana kepada media.
Beliau berkata PTPTN setakat Februari ini telah mengeluarkan sejumlah RM56 bilion, manakala jumlah kutipan hutam peminjam cuma sebanyak RM8.4 bilion.
Menurut Wan Saiful dan Mastura, PTPTN dijangka akan menanggung hutang kira-kira RM76 bilion dalam masa 20 tahun lagi.
"Ini bermakna PTPTN mungkin tidak lagi dapat membiayai pinjaman atau mungkin sudah tidak wujud lagi," katanya.
Mastura menegaskan sekiranya ini berlaku, orang ramai akan terpaksa bergantung kepada institusi kewangan swasta untuk membuat pinjaman pelajaran dan bilangan pelajar yang memperoleh pembiayaan akan menjadi lebih rendah.
Tarikh: 16 Mei 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Cari

Like Us


Hot in week

Recent

Comments


Follow Instagram

Translate

item