DISQUS SHORTNAME

Khamis, 23 April 2020

5 kelebihan mengembara mengikut agama Islam

Di sesetangah negara, sektor pelancongan merupakan sector utama menjana pendapatan negara. Thailand antara negara yang betul-betul memfokuskan pelancongan untuk pendapatan negara malah untuk ekonomi rakyatnya. Pelancangon  pada kaca mata sebuah negara adalah sumber mendapatkan wang untuk pembiayaan dan juga perbelanjaan tetapi pada sudut yang lebih kecil sebagai seorang manusia yang beragama islam, aktiviti melancong adalah aktiviti untuk menjana pahala. 


Kelebihan pelancongan pada sesebuah negara adalah untuk menjana pendapatan untuk negara tetapi bagi Muslim terdapat 5 kelebihan mengikut agama Islam apabila nelancong iaitu:


1) Mengikut perintah  Allah dalam ajaran Islam
Perkataan kembara atau berjalan yang bukan sekali disebut dalam quran untuk memerintahkan manusia supaya berjalan melakukan perjalanan di atas muka bumi ini. Jika muslim sedar dan mengetahui tentang perintah ini dan melancong ke mana-mana negara semata-mata memenuhi perintah Allah, semoga untuknya mereka diganjari pahala yang banyak serta menjadi hamba Allah yang menurut perintah walaupun sekecil perintah dari Allah taala.

2) Mengikut sunnah nabi ketika mengembara
Asbab hijrah nabi, muslim pada hari ini diberikan ruksah untuk melaksanakan solat secara jamak, qasar atau jamak dan qasar. Meneladi apa yang dibuat nabi ketika mengembara, orang islam boleh melakukan perkara yang sama berkaitan solat sebagai keringanan dalam menjalankan kewajipan solat 5 kali sehari. Qasar solat yang boleh dilakukan dalam keadaan musafir sahaja mengikut syarat-syarat tertentu umpamanya musafir untuk perkara yang baik.

3) Doa makbul
Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiga doa yang mustajab, tanpa syak padanya; doa ibubapa untuk anak, doa orang bermusafir, dan doa orang kena zalim” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Bertaraf sahih).
Ketika anda melancong, rebut peluang untuk memanfaatkan setiap detik yang ada untuk sentiasa berdoa kepada Allah. Manusia hanya perlu berdoa dalam hati sahaja tanpa perlu mengangkat tangan berdoa kerana Allah taala yang maha mengetahui, maha mendengar maklum akan segala permintaan anda sekalipun tanpa lisan menyebut. Inilah keistimewaan menjadi muslim. Tanpa perlu ke masjid atau tanpa hamparan sajadah, muslim boleh berada dalam dimana-mana sahaja pada bila-bila masa tanpa mengira situasi atau keadaan.

Banyakkan berdoa untuk keselamatan, kesihatan, kekayaan, kemewahan, kegembiraan, ketenangan, untuk diri sendiri, keluarga, jiran, kawan, keturunan, malah untuk seluruh penduduk muslim dan penduduk bumi di dunia ini.

4) Petua panjang umur dengan bersilaturahim ketika mengembara
Ramai mungkin tidak menyangka nabi telah memberikan petua untuk mendapatkan umur panjang melalui hadisnya. Antara asbab panjang umur ialah dengan menyambung dan memelihara silaturrahim, Sabda nabi seperti tsabit daripada hadis Anas juga:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang suka untuk diluaskan baginya rezeki, dan dipanjangkan umurnya, maka sambungkanlah silaturrahim.
Hadis riwayat al-Bukhari dalam al-Sahih (2067)

Silaturahim bukan sahaja terhad kepada sesame keluarga sahaja. Tetapi jauh lebih luas daripada itu, muslim perlu bersilaturahim menjangkaui sempadan negara, bangsa, agama, kaum, bahasa atau warna kulit. Sebagaimana asal ciptaan manusia untuk beribadah kepada allah tetapi hikmah lebih besar diciptakan manusia berbeza-beza adalah untuk saling mengenali antara satu sama lain. siapa sangka dakwah untuk menyebarkan islam pada kaum yang belum beragama islam berlaku asbab mengenali mereka semasa melancong.

5) Mengembara sambil berdakwah
Dakwah iaitu tugas menyebarkan ajaran islam tidak mungkin akan tersebar ke seluruh pelusuk maya jika nabi tidak mengutuskan para sahabat untuk berhijrah dan mengembara ke negara lain. Penyebaran Islam di China berlaku atas perintah Khalifah Usman bin Affan kepada Saad Bin Abi Waqqas untuk menjadi penyebar Islam di bumi Canton salah sebuah wilayah di China.

Namun sebagai Muslim biasa, dakwah boleh dilakukan dengan cara yang paling mudah dan simple iaitu melalui akhlak diri. Penampilan tingkah laku yang baik adalah modal paling mudah dan murah untuk menarik bukan Islam di negara yang dilawati untuk lebih mengenali Islam.

Jadi mengembaralah. Itu salah satu tanggungjawab kita sebagai Muslim. Sambil mengembara, sambil menghilangkan stress sambil mengumpul pahala. Kembara dengan hati, kembara dengan iman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari

Like Us

Hot in week

Recent

Comments

Follow Instagram

Translate

item