DISQUS SHORTNAME

Sabtu, 9 Februari 2019

Kerugian Rm 6000 beg dicuri ketika di London

PELAKON dan penyanyi, Alvin Chong kerugian lebih RM6,000 selepas begnya dicuri ketika bercuti di London, semalam.
Pelakon drama Awak Suka Saya Tak ketika dihubungi Harian Metro, berkata kejadian berlaku ketika dia sedang mengambil gambar kenangan di Menara Jambatan London.
"Saya meletak beg di belakang kaki dan dalam tempoh tidak sampai 30 saat, sebaik saja tunduk serta menoleh untuk mengambil beg, ia sudah tiada.

"Saya kehilangan pasport, wang tunai dalam mata wang Euro, Dolar Amerika Syarikat, Dolar Singapura, Pound Sterling dan Ringgit Malaysia yang disimpan di dalam beg," katanya.
Alvin berkata, sejurus kehilangan dia terus ke pejabat kedutaan Malaysia di London untuk membuat laporan kehilangan pasport dan permohonan baru.
Katanya, pada awal dia tidak dapat membuat pasport ganti kerana bukan bekerja di sana tetapi mujurlah pihak kedutaan faham selepas menerangkan keadaan yang berlaku.
"Terima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia yang banyak membantu dan memudahkan urusan saya untuk mendapatkan pasport baru.
"Kejadian ini adalah pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati apabila berada di negara asing," katanya.
Alvin berada di London selama tiga hari untuk bercuti sempena meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama rakannya yang menetap di sana dan dijangka tiba di Malaysia petang ini.

Tarikh: 8 Februari 2019
Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/2019/02/420846/alvin-hilang-pasport-dan-beg-di-london?fbclid=IwAR0Ge8s4QvZRVxO91zV21_44fzLxioiygTfftA5zwPKI5AGTgZM-OKF9W3Q


Khamis, 7 Februari 2019

Isu begpackers mat salleh meminta sedekah untuk melancong


KUALA LUMPUR: Isu pelancong dari negara Barat yang kini menyasarkan aktiviti merayu sumbangan di negara-negara Asia termasuk Malaysia bukan saja mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan.

Hasil tinjauan yang dibuat oleh wartawan Astro AWANI, terdapat beberapa pelancong asing turut menyuarakan pandangan mereka berhubung tindakan golongan 'begpackers' itu.

'Begpackers' adalah istilah yang merujuk kepada golongan pelancong asing, yang meminta derma atau sumbangan (begging) daripada orang ramai untuk menampung kos perjalanan mereka.


Menurut pelancong yang berasal dari Turki yang dikenali sebagai Batuhan, walaupun tindakannya itu menyalahi undang-undang, namun ia membantu beliau untuk menambah wang perbelanjaan dan mengenali masyarakat tempatan secara dekat.

“Kebanyakan orang tempatan tidak kisah mengenainya, tetapi pihak polis dan DBKL ada membangkitkan isu ini. Saya rasa ia tiada masalah kerana kami berjumpa dan mengenali orang ramai secara lebih dekat. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit masalah daripada pihak berkuasa,” ujarnya yang menjual gelang tangan di kaki lima sekitar Jalan Bukit Bintang.

Namun, bagi pelancong dari Kanada, Amerika Syarikat dan Syria, mereka menegaskan bahawa perkara tersebut tidak adil dan tidak sepatutnya dilakukan ketika sedang melancong.

“Saya rasa ia bergantung dengan keadaan orang itu sendiri. Kita tidak tahu latarbelakang mereka atau sebagainya tapi jika mereka meminta sumbangan dari warga tempatan, saya rasa tidak patut dan tidak adil,” kata pelancong bernama Gen yang berasal dari Kanada.

Malah, pelancong yang berasal dari Amerika Syarikat, Mario pula berpendapat jika mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk melancong, maka mereka perlu melupakan hasrat untuk melancong.

“Jika anda tidak mempunyai wang yang cukup, maka anda tidak sepatutnya melancong kerana saya percaya kebanyakan orang yang meminta sedekah ialah orang yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan ia tidak seharusnya berlaku,” tegasnya.

Manakala pelancong dari Syria yang dikenali sebagai Sam pula berpendapat tujuan pelancong datang ke negara lain adalah untuk melancong dan bukannya menjual atau membuat persembahan bagi mengumpul wang.

“Tidak, saya rasa ianya tidak patut berlaku. Ia bukan idea yang bagus kerana pelancong datang untuk melihat negara yang dikunjungi bukannya berniaga. Itu pandangan saya,” ujar Sam.
Mereka ditanya mengenai tindakan sepasang suami isteri warganegara Rusia yang ditahan polis selepas klip video seorang lelaki melambung dan menghayun bayi berusia empat bulan dalam persembahan jalanan di ibu negara baru-baru ini tular di media sosial.

Pasangan itu dikatakan melakukan aktiviti sedemikian bagi menampung perbelanjaan pelancongan mereka.

Tarikh: 6 Februari 2019
Sumber:http://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-begpackers-kalau-tak-cukup-duit-anda-tak-sepatutnya-pergi-melancong-197828

Isnin, 4 Februari 2019

Umrah diy risiko ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa rakyat Malaysia supaya tidak mengatur sendiri urusan mengerjakan umrah, sebaliknya perlu melalui agensi pelancongan berdaftar.
Ketua Setiausaha Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata demikian ketika memberi penjelasan berhubung isu membabitkan E-Umrah.
“Saya mahu jelaskan bahawa rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan umrah perlu mendapatkan visa daripada agensi pelancongan berdaftar dengan kementerian, dan disahkan sebagai rakan muassasah kepada Kedutaan Arab Saudi.
“Tolong jangan lakukan perancangan mengerjakan umrah DIY (secara sendiri) kerana kamu boleh ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi jika tidak mengikut prosedur,” katanya selepas melancarkan konvoi motosikal Jelajah Harapan 2019 JB-Dubai di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, hari ini.
Rashidi berkata, terdapat kekeliruan kerana segelintir individu menganggap mereka boleh memohon untuk perjalanan umrah secara dalam talian menerusi E-Umrah, dan mengabaikan keperluan lain.
“Saya tahu, kita menganggap lebih mudah berurusan secara dalam talian, maka kita tidak perlu lagi berurusan dengan agensi pelancongan berdaftar.
“Rakyat Malaysia perlu mematuhi garis panduan sedia ada dan menerusi saluran yang betul,” katanya.
Terdahulu, konvoi motosikal dengan enam penunggang dari Johor diketuai Sani Abdul Rahman itu akan melalui tujuh negara iaitu Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
Sani berkata, program itu menjadi kenyataan hasil kerjasama BMW Motorrad Malaysia.
“Kami memulakan perjalanan dari Johor Bahru dan berhenti di Kuala Lumpur untuk majlis pelancaran ini, sebelum bergerak ke Thailand,” katanya.
Sepanjang jelajah itu, enam penunggang terbabit juga akan mempromosikan Minggu Motosikal Antarabangsa Johor 2019, dan mereka mewakili Malaysia sebagai duta bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
“Tempoh keseluruhan jelajah ini dijangka mengambil masa sebulan dan kami berharap akan selamat pulang pada 5 Mac,” katanya.
Rashidi berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi sokongan kepada semua penunggang itu kerana mereka dapat membantu mempromosikan negara serta menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Semua penunggang motosikal dalam jelajah ini adalah duta kecil kita kerana mereka boleh mempromosi negara kita sebagai destinasi pelancongan menerusi laluan darat.
“Sasaran kami tahun ini adalah untuk membawa masuk 28.1 juta pelancong ke Malaysia, dan menjana RM92.2 bilion pendapatan pada negara,” katanya.
Rashidi memberi jaminan kementeriannya akan mempromosikan semua program yang boleh menyumbang kepada sasaran itu, seperti jelajah motosikal terbabit.
“Semua penunggang motosikal ini akan mengambil gambar sepanjang perjalanan mereka yang boleh menghangatkan media sosial dan membantu sasaran kita,” katanya.
Tarikh: 2 Februari 2019
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/526886/arab-saudi-boleh-tangkap-rakyat-malaysia-buat-umrah-diy?fbclid=IwAR3FBvRMQA-24A8mq3MUIPoq6iwclC3GPig9HBF07pyV2no2Js0AZfOW2iw

Ahad, 20 Januari 2019

Tanggung pampasan 3.6 juta Bath akibat kemalangan jalan raya di Krabi

Assalamualaikum kepada semua rakan2 sedikit info kes Viral Kemalangan di Krabi.
Ketika semua orang di Malaysia berseronok untuk menyambut kedatangan tahun baru 2019 pada tengah malam ni tetapi lain pulak cerita En, Abdul Wahab yg terpaksa kesedihan utk memikirkan tentang nasib beliau yg kemalangan pada 19/12/18 di Krabi.

Sy bersama Abg Zakrozen Wazir (Group Harley BigBike Malaysia) sempat juga pergi menziarahi En,Wahab utk bertanya status keadaan beliau di krabi, Alhamdulillah En,Wahab dalam keadaan sihat walaupun dlm keadaan yg sangat menyedihkan beliau hanya boleh makan menggunakan jarum straw utk dimasukan dlm mulut yg ditutupi rapat dengan besi & getah disebabkan rahangnya patah.
Menurut En,Wahab beliau di ikat jamin sebanyak 120k Thai Bhat & perlu ada jaminan orang tempatan thai utk letakkan geran tanah atau rumah sebagai jaminan beliau daripada pihak makamah sekiranya di ikat jamin duit sahaja tidak lagi memenuhi syarat tersebut.
Di sebalik cerita tersebut, yg sy paling menyentuh hati adalah ada orang thailand yg baru kenal x sampai 2 jam sanggup menggadaikan tanah kepada En,Wahab sebagai jaminan beliau, kalau di ikutkan hamba Allah tersebut tiada apa2 kaitan persaudaraan pun dgn en, Wahab tetapi dia sanggup buat begitu kalau dia x bgi geran tanah tersebut en,wahab akan ditahan didalam lokap thailand di Krabi, Allah anda semua bayangkan keadaaan dia yg patah 3 tempat di kawasan muka dgn dia pula sakit kencing manis yg perlu makan ubat tiap2 hari dengan menggunakan straw jarum hospital.

Disini sy dpt rasakan yg ketentuaan Allah itulah yg paling berkuasa melainkan manusia, dalam kita mengharapkan org lain Allah menghantar org lain yg sanggup gadaikan nilai yg x semua org sanggup buat begitu.
Pada 3 Januari 2019 ni en,Wahab akan dinaikan di makamah krabi utk kes perbicaraan beliau di krabi.
Pihak keluarga si mati tersebut meminta pampasan yg x masuk akal sebanya 3.6M Thai Bhat kepada en,wahab walupun siasatan belum putuskan lagi beliau bersalah. Dengan bantuan org malaysia & Konsul General Malaysia di Songkhla akan pergi bersama en,wahab ke perbicaraan beliau nanti.

Sy disini menyeru semua rakyat malaysia dapat bersabar banyak2 dan jaga emosi masing2, kita berserah kepada Allah sahaja menentukan kes pakcik Wahab diringankan dan dipermudahkan.
Untuk bantuan kewangan dan sebagainya boleh berhubung terus kepada menantu lelaki Pakcik wahab Izwan Yahaya di Krabi.
Sy ingin meminta kepada semua yg membaca posting sy berkenaan kes kemalangan Pakcik wahab disharekan sebanyak mungkin mana nak tahu dalam kesempitan tersebut ada Hamba Allah yg ingin menghulurkan bantuan kepada beliau. Sekurang2 nya kita bantu utk share berita sebegini utk peringatan kepada semua pelancong2 dari malaysia yg datang Thailand.
Sekian laporan daripada sy Yeid Farid Agent Travel Thailand di Krabi.

Sumber Fb: Yeid Farid 

Jumaat, 18 Januari 2019

Wabak Chikungunya menyerang Thailand, pelancong Malaysia dinasihatkan berhati-hati jika ke Hatyai

RAKYAT negara ini, khususnya di Perlis, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti pelancongan ke Thailand, khususnya Hatyai, berikutan penularan wabak chikungunya di wilayah itu, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai Ann berkata, pihaknya kini memantau ketat pelancong dari negara jiran itu yang memasuki negara ini.
Menurutnya, pemantauan itu ditumpukan di setiap pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian, selain di Jeti Kuala Perlis bagi pengunjung yang menaiki feri dari Satun, Thailand.

Katanya, pihak berkuasa, termasuk Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemeriksaan di pintu masuk dan mengenal pasti individu yang berisiko membawa virus itu agar penularan wabak penyakit itu dapat dikawal di negeri ini.
“Kita khuatir jika sempadan tidak dikawal dengan baik, penyakit itu boleh merebak dengan pantas ke negara ini.
“Jadi, saya meminta supaya orang ramai dapat memberikan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan negeri seandainya mereka perlu menjalani pemeriksaan ketika berada di pintu sempadan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Teh berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam memastikan langkah kawalan dan keselamatan bergerak seiring.
“Ini kerana, pintu masuk di Padang Besar menjadi pilihan utama pelancong dari Hatyai kerana jaraknya lebih dekat berbanding pintu masuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Selain itu, kita juga sarankan pelancong dari Perlis menjalani rawatan pemeriksaan sekiranya mereka menghidap demam panas, ruam di badan dan berasa sengal sendi sejurus pulang dari Thailand,” katanya.
Semalam, media tempatan Thailand, Bangkok Post, melaporkan virus chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika dikesan berlaku di Hatyai.
Menurut laporan media berkenaan, berpuluh-puluh pesakit mendapatkan rawatan di klinik di bandar raya berkenaan akibat jangkitan virus berkenaan.

Tarikh: 14 Januari 2019
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/01/412048/wabak-chikungunya-landa-hatyai-perlis-berjaga-jaga?fbclid=IwAR1PesXbkLo4X8E0G_v-mgWlOvka8vnqVSCKdcC8q5XXOQRgQhVAoevysEE

Cari

Like Us

Hot in week

Recent

Comments

Follow Instagram

Translate

index