PORT DICKSON: Pewartaan denda akibat kehilangan pasport antara RM300 hingga RM1,000 adalah berasas berikutan terlalu banyak dokumen itu yang dilaporkan hilang pada tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, lebih 2.1 juta pasport dikeluarkan pada tahun lalu, namun sebanyak 83,617 dilaporkan hilang.
Katanya, kadar kehilangan itu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan sebanyak 75,600 dan 44,528 (2016).
“Perkara ini membimbangkan kerana pasport adalah dokumen keselamatan negara.
“Disebabkan itu bermula 2 Januari lalu, Imigresen mewartakan denda RM200 bagi kehilangan pasport kali pertama, kali kedua (RM500) dan ketiga (RM1,000),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Kawalan Kehormatan Penolong Penguasa Imigresen KP29 2018 di Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, denda yang dikenakan imigresen itu adalah bertujuan memastikan pemegang pasport bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah.
“Bagi kehilangan pasport akibat dicuri, dirompak dan kebakaran, ia mendapat pengecualian yang perlu disertakan dengan laporan polis. Jika tercicir atau kecuaian, pemegang akan didenda,” katanya.
Mengikut pecahan kes kehilangan pasport tahun lalu, katanya, sebanyak 62,044 pasport hilang dalam simpanan, dicuri (5,022), diserahkan kepada agensi tertentu (170), kebakaran (559), berpindah rumah (7,815), malapetaka (1,203), disimpan tempat tidak selamat (1,949), tercicir (4,682) dan tertinggal dalam kenderaan (173).
Dalam perkembangan lain, Abdul Halim berkata, sebanyak 14,724 operasi dilaksanakan dengan 191,218 pemeriksaan dibuat Jabatan Imigresen di seluruh negara, pada tahun lalu.
“Hasil pemeriksaan itu, seramai 48,372 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan manakala 1,468 majikan diambil tindakan.
“Malah, untuk tempoh 12 hari tahun ini kita sudah melaksanakan 313 operasi membabitkan 3,476 pemeriksaan dengan 1,397 PATI ditahan dan 14 majikan diambil tindakan,” katanya.
Tarikh: 12 Januari 2019
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/518951/jumlah-pasport-hilang-meningkat-denda-amat-munasabah?fbclid=IwAR2oJtQAsu3j_eEMLbIapHAcUENGBRJhIJf_ZzXhgvZpKe0deDGqzS1PsDI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan