DISQUS SHORTNAME

Rabu, 26 September 2018

Bakar Colok di Maqam Saad bin Abi Waqas: Khurafat atau budaya?

XIFU Naser telah mengulas tentang penggunaan colok oleh Cina Muslim dalam ruangannya minggu lepas. Ia lanjutan penularan video yang menunjukkan jemaah Cina Muslim berkopiah putih dan berjubah membakar colok dalam satu upacara di China. Saya menerima video yang sama daripada mereka yang inginkan penjelasan.

Colok, atau setanggi, adalah sejenis kemenyan yang berbau harum apabila dibakar. Ia digunakan oleh masyarakat Cina dalam upacara keagamaan; kebiasaannya di hadapan patung Buddha, gambar nenek-moyang atau dewa, serta di perkuburan. Selain istiadat keagamaan, colok juga digunakan sebagai pewangi rumah dan aromaterapi untuk tujuan meditasi.
 Masyarakat India yang beragama Hindu turut membakar colok dalam upacara keagamaan mereka. Malah, masyarakat Melayu dahulu kala juga membakar kemenyan pada setiap malam Jumaat dan hari Safar. Asap dan bau kemenyan dipercayai mampu menarik makhluk halus yang berada di dunia ghaib. Sebab itulah asap kemenyan merupakan satu kemestian dalam upacara ritual.

Sebuah video di laman YouTube menunjukkan masyarakat di desa Trunyan, Bali, Indonesia yang majoritinya beragama Hindu masih mengamalkan tradisi pengebumian yang aneh, di mana mayat tidak dikuburkan tetapi disandarkan pada pokok kemenyan. Mayat tidak berbau busuk kerana pokok kemenyan bukan sahaja mengeluarkan aroma yang harum malah mampu menyerap bau busuk mayat.

Amalan membakar colok sebagai pengharum telah diamalkan sejak turun-temurun oleh masyarakat Cina di Tanah Besar China termasuk dalam kalangan mereka yang beragama Islam. Sesetengah masjid di China menyediakan tempat untuk meletakkan colok di luar masjid. Para imam ('ahong’) dan jemaah akan berbaris untuk masuk ke dalam masjid sambil memegang colok yang dinyalakan dan colok tersebut akan ditinggalkan dalam bekas yang disediakan sebelum memasuki dewan solat.

Seperti yang dijelaskan oleh Xifu Naser, bakar colok dalam bahasa Cina ialah ‘jing xiang’ (Mandarin). Jing bermaksud ‘mempersembahkan’ dan xiang pula ‘wangi’. Maka, jing xiang maksudnya ‘mempersembahkan wangian’. Budaya membakar colok dalam ritual seperti yang disebut di atas juga merupakan simbolik kepada tanda hormat, sama ada untuk orang yang lebih tua atau tokoh yang dihormati.

Presiden Macma Malaysia, Prof Dr Taufiq Yap, yang baru sahaja melawat Guangzhou, China, turut melihat penggunaan colok di makam Saad Abi Waqas. Pengunjung Islam yang datang akan menyalakan api pada colok dan mencacakkannya dalam bekas yang disediakan di luar kawasan makam. Ia untuk menimbulkan bau harum di kawasan tersebut.



Begitu juga di makam dua ulama yang merupakan pengasas Masjid Niujie di Beijing; bekas colok disediakan di kawasan makam tersebut. Tradisi ini masih diamalkan hingga kini.

Selain itu, pembakaran gaharu (oud) juga merupakan adat orang Arab. Kepingan kayu gaharu direndam dalam minyak kemudiannya dibakar dalam dupa untuk asapnya juga dikenali sebagai 'bakhoor'. Kebiasaannya, mereka membakarnya untuk menghormati tetamu yang datang berziarah. Selain itu, ia juga digunakan semasa majlis keramaian, majlis ilmu, kematian, dan sebagainya.

Semasa Ramadan pula, kayu gaharu dibakar di dalam masjid semasa solat tarawih bagi mengeluarkan bau harum untuk keselesaan jemaah. Di Masjidil Haram, terdapat perasap (bekas membakar kemenyan) besar yang diisi dengan kayu gaharu.

Dikisahkan juga bahawa Imam Malik RA sentiasa berpakaian kemas dan harum serta beliau membakar bakhoor sebelum mula mengajar pada majlis-majlis ilmu. Asap bakhoor yang harum membantu meredakan ketegangan otot serta saraf dan mampu mengurangkan tekanan.

Dalam dunia serba moden kini, produk wangian juga telah berkembang dengan adanya pelbagai jenama pewangi sama ada beralkohol atau tanpa alkohol; kebanyakannya datang dari dunia Barat. Manakala pembakaran kayu gaharu, setanggi, kemenyan, mahupun colok pula dianggap sinonim dengan dunia perbomohan atau ritual keagamaan. Tanggapan ini salah.

Berdasarkan sejarah, tradisi dan contoh-contoh yang dinyatakan di atas, boleh dirumuskan bahawa penggunaan colok dan seumpamanya lebih merupakan budaya dan ia tidaklah bertentangan dengan agama jika bertujuan untuk mewujudkan suasana tenang, damai dan harum. Ia hanya menjadi haram sekiranya digunakan dalam ritual yang membawa kepada syirik terhadap ALLAH SWT.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/colok-budaya-atau-agama-1.646755 

Info tentang tempat menarik di Guangzhou, klik sini. Tips hostel di Guangzhou baca sini



Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Cari

Like Us


Hot in week

Recent

Comments


Follow Instagram

Translate

item