DISQUS SHORTNAME

Khamis, 23 April 2020

5 kelebihan mengembara mengikut agama Islam

Di sesetangah negara, sektor pelancongan merupakan sector utama menjana pendapatan negara. Thailand antara negara yang betul-betul memfokuskan pelancongan untuk pendapatan negara malah untuk ekonomi rakyatnya. Pelancangon  pada kaca mata sebuah negara adalah sumber mendapatkan wang untuk pembiayaan dan juga perbelanjaan tetapi pada sudut yang lebih kecil sebagai seorang manusia yang beragama islam, aktiviti melancong adalah aktiviti untuk menjana pahala. 


Kelebihan pelancongan pada sesebuah negara adalah untuk menjana pendapatan untuk negara tetapi bagi Muslim terdapat 5 kelebihan mengikut agama Islam apabila nelancong iaitu:


1) Mengikut perintah  Allah dalam ajaran Islam
Perkataan kembara atau berjalan yang bukan sekali disebut dalam quran untuk memerintahkan manusia supaya berjalan melakukan perjalanan di atas muka bumi ini. Jika muslim sedar dan mengetahui tentang perintah ini dan melancong ke mana-mana negara semata-mata memenuhi perintah Allah, semoga untuknya mereka diganjari pahala yang banyak serta menjadi hamba Allah yang menurut perintah walaupun sekecil perintah dari Allah taala.

2) Mengikut sunnah nabi ketika mengembara
Asbab hijrah nabi, muslim pada hari ini diberikan ruksah untuk melaksanakan solat secara jamak, qasar atau jamak dan qasar. Meneladi apa yang dibuat nabi ketika mengembara, orang islam boleh melakukan perkara yang sama berkaitan solat sebagai keringanan dalam menjalankan kewajipan solat 5 kali sehari. Qasar solat yang boleh dilakukan dalam keadaan musafir sahaja mengikut syarat-syarat tertentu umpamanya musafir untuk perkara yang baik.

3) Doa makbul
Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiga doa yang mustajab, tanpa syak padanya; doa ibubapa untuk anak, doa orang bermusafir, dan doa orang kena zalim” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Bertaraf sahih).
Ketika anda melancong, rebut peluang untuk memanfaatkan setiap detik yang ada untuk sentiasa berdoa kepada Allah. Manusia hanya perlu berdoa dalam hati sahaja tanpa perlu mengangkat tangan berdoa kerana Allah taala yang maha mengetahui, maha mendengar maklum akan segala permintaan anda sekalipun tanpa lisan menyebut. Inilah keistimewaan menjadi muslim. Tanpa perlu ke masjid atau tanpa hamparan sajadah, muslim boleh berada dalam dimana-mana sahaja pada bila-bila masa tanpa mengira situasi atau keadaan.

Banyakkan berdoa untuk keselamatan, kesihatan, kekayaan, kemewahan, kegembiraan, ketenangan, untuk diri sendiri, keluarga, jiran, kawan, keturunan, malah untuk seluruh penduduk muslim dan penduduk bumi di dunia ini.

4) Petua panjang umur dengan bersilaturahim ketika mengembara
Ramai mungkin tidak menyangka nabi telah memberikan petua untuk mendapatkan umur panjang melalui hadisnya. Antara asbab panjang umur ialah dengan menyambung dan memelihara silaturrahim, Sabda nabi seperti tsabit daripada hadis Anas juga:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang suka untuk diluaskan baginya rezeki, dan dipanjangkan umurnya, maka sambungkanlah silaturrahim.
Hadis riwayat al-Bukhari dalam al-Sahih (2067)

Silaturahim bukan sahaja terhad kepada sesame keluarga sahaja. Tetapi jauh lebih luas daripada itu, muslim perlu bersilaturahim menjangkaui sempadan negara, bangsa, agama, kaum, bahasa atau warna kulit. Sebagaimana asal ciptaan manusia untuk beribadah kepada allah tetapi hikmah lebih besar diciptakan manusia berbeza-beza adalah untuk saling mengenali antara satu sama lain. siapa sangka dakwah untuk menyebarkan islam pada kaum yang belum beragama islam berlaku asbab mengenali mereka semasa melancong.

5) Mengembara sambil berdakwah
Dakwah iaitu tugas menyebarkan ajaran islam tidak mungkin akan tersebar ke seluruh pelusuk maya jika nabi tidak mengutuskan para sahabat untuk berhijrah dan mengembara ke negara lain. Penyebaran Islam di China berlaku atas perintah Khalifah Usman bin Affan kepada Saad Bin Abi Waqqas untuk menjadi penyebar Islam di bumi Canton salah sebuah wilayah di China.

Namun sebagai Muslim biasa, dakwah boleh dilakukan dengan cara yang paling mudah dan simple iaitu melalui akhlak diri. Penampilan tingkah laku yang baik adalah modal paling mudah dan murah untuk menarik bukan Islam di negara yang dilawati untuk lebih mengenali Islam.

Jadi mengembaralah. Itu salah satu tanggungjawab kita sebagai Muslim. Sambil mengembara, sambil menghilangkan stress sambil mengumpul pahala. Kembara dengan hati, kembara dengan iman.

Rabu, 22 April 2020

Pelancongan muslim adalah ibadah

Budaya travel atau melancong bukan semata-mata untuk berseronok atau melepaskan tekanan semata-mata. Dengan kemudahan teknologi dan sistem pengangkutan udara, laut atau darat, melakukan perjalanan merentas negara bukan lagi satu masalah besar. Hari ini, manusia melakukan perjalanan merentas ribuan kilometer hanya dengan satu ke dua hari perjalanan sahaja.
Sebagai seorang muslim, seharusnya aktiviti melancong atau mengembara bukan sia-sia. Seorang muslim yang suka mengembara perlu merebut setiap kembara sebagai satu perjalanan untuk mengumpul pahala. Menukar aktiviti kembara kepada satu perjalanan mencari redha Allah adalah satu pelaburan wang, masa, tenaga yang amat bermakna. Justeru, aktiviti melancong perlu dilihat dari perspektif yang lebih besar dan  luas iaitu sebagai satu ibadah.
Saranan untuk travel atau mengembara ada disebut di dalam al Quran melalui Surah Muhammad Ayat 10
"Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu".

Nabi Muhammad turut ditugaskan untuk mengembara oleh Allah. Tetapi kembara nabi bukanlah seperti manusia biasa. Kedudukannya sebagai nabi dan rasul telah meletakkan baginda di tempat teristimewa sehingga Allah taala memperjalankan nabi pada malam israk mikraj ke sidratul muntaha. Perjalanan nabi ke sana dengan menaiki buraq disemadikan dalam quran melalui ayat ???. Daripada kembara nabi ini, umat Islam diberi pengajaran tentang bagaimana  nabi melihat neraka sebagai pusat derita dan syurga sebagai tempat yang penuh kenikmatan. Perjalanan nabi ini menjadi pengajaran terbesar untuk umat Islam supaya menjauhkan perkara dosa dan membanyakkan amalan untuk mendapat syurga. Kembara yang singkat, tetapi memberi erti pengajaran yang amat bermakna bagi umat Islam yang mahu berfikir.

Anjuran melakukan kembara bukan la semata-mata untuk menjamu mata dengan pemandangan menarik. Tetapi ianya perlu dilakukan sebagai satu perjalanan kerohanian melihat alam sebagai salah satu kebesaran ciptaan Allah. Perjalanan dari satu negara ke negara lain  hanyalah satu perjalanan kosong tanpa pengisian rohani.

Seorang muslim perlu menjadikan aktiviti mengembara sebagai  satu platform ibadah. Niat yang betul menjadikan pengembaraan adalah medan terbaik untuk mengumpul pahala. Seharusnya perbuatan seorang muslim tidak sia-sia walau sesaaat apatah lagi aktiviti mengembara memerlukan modal wang, masa dan tenaga yang banyak. Jika hanya mengharapkan habuan duniawi iaitu keseronakan semata-mata adalah tersangat rugi.
Dengan pelaksaaan aktiviti melancong yang betul berlandaskan syariat , pelancongan dan pengembaraan adalah sejadah bagi seorang muslim. Teruskan melancong sambil mengumpul pahala.

Selasa, 21 April 2020

Larangan melancong dalam Islam ketika wabak Covid 19

Tahun 2020 tiada siapa menyangka dunia dikejutkan dengan penularan wabak covid 19. Virus yang merebak ke seluruh pelusuk dunia telah menyebabkan aktiviti masyarakat dunia terhenti dan tergendala. Manusia hidup terkurung akibat daripada virus yang mudah menjangkiti manusia lain tanpa sedar. Secara tidak langsung aktiviti melancong turut tergendala. Walau bagaimanapun larangan melancong ketika wabak telah lama diperintahkan oleh Allah kepada umat Islam.


Covid 19 telah mencetuskan pandemic kepada manusia sehingga mengistiharkan who untuk mengistiharkannya secara rasmi pada ??.  butang pandemic yang dikeluarkan oleh WHO merupakan petanda aras wabak ini tersebar tanpa kawalan dengan begitu cepat sekali ke seluruh dunia. Memburukkan lagi keadaan, ketiadaan vaksin untuk virus menjadikan pesakit covid 19 hanya bergantung pada ubat sedia ada dan menjadi percubaan bagi agensi kesihatan untuk menjadi makmal hidup kepada eksperimen vaksin untuk covid19.

Namun apa signifikan virus ini kepada sector pelancongan dan kaki pelancong?. Islam memerintahkan bukan sahaja individu malah negara untuk menjaga soal maqasid syariah. 5 maqasid utama ialah akal, agama, nyawa, harta dan keturunan.

1400 tahun dahulu, nabi Muhammad telah mensabdakan sebuah  hadis yang berbunyi:
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Pada zaman pemerintahan Saidina Umar, telah berlaku penularan wabak di kawasan pemerintahnya. Seorang sahabat nabi telah dijangkiti wabak tersebut. Lalu Saidina Umar bin Khattab bercadang untuk menziarahi tetapi membatalkan hasratnya setelah mendengar hadis yang dibacakan oleh  Saidina Abdul Rahman b Auf r.a berkaitan wabak.

Jika seorang nabi dan telah dijanjikan syurga begitu patuh akan terhadap apa yang disyariatkan oleh Allah, siapakah anda untuk tidak mematuhi arahan daripada hadis tersebut? Jika wasiat daripada nabi untuk keselamatan dan kesihatan diri sendiri serta kemaslahatan awam dipandang enteng, apakah kaki pelancong muslim pada hari ini terlalu berani merisikokan kesihatan diri untuk dijangkiti virus Covid 19.
Istilah lockdown atau kuarantin telah pun mula diperkatakan oleh nabi sejak dari dahulu lagi. Kuarantin adalah sebahagian daripada perintah Allah yakni ajaran islam sebagai langkah menangani penularan wabak.  Inilah wasiat terpenting yang perlu dibuat baik untuk individu, negeri atau negara bagi mengekang mana-mana wabak daripada terus tersebar.
Kaki pelancong patut mempertimbangkan hadis ini sebagai langkah mengelakkan menjadi “ transmitter”  penularan wabak  kepada orang lain.Sebagai langkah keselamatan dan kesihatan diri semestinya pertimbangan wajar perlu diambil untuk menjauhkan diri daripada tempat atau negara yang terkena wabak.

Covid 19 telah tersebar dengan cepat dan meluas melalui warga China yang diberitakan telah keluar secara beramai-ramai untuk bercuti. Akibatnya lapangan terbang menjadi pusat penyebaran virus. Mereka mungkin menjadi mangsa covid 19 tanpa mengalami apa-apa simpton. Sedar atau tidak sedar, lapangan terbang adalah tempat yang wajib dijauhi buat masa sekarang sehingga keadaan benar-benar pulih. Inilah langkah terbaik yang perlu diambil bagi mengelakkan penularan kembali virus ini.

Sebagai kaki pelancong dengan mengambil kira segala situasi dan mematuhi arahan daripada pihak kesihatan serta kerajaan, tindakan untuk menangguhkan melancong ke luar negara adalah tindakan bertanggungjawab. Tidak hilang negara yang ingin dilawati, tetapi jika hilang nyawa ia pergi tanpa dapat kembali. Wang boleh dicari tetapi nyawa hanya satu. Gunakan pertimbangan yang wajar dan akal yang waras untuk menilai sesuatu keputusan sama ada untuk teruskan melancong atau menangguhkan perjalanan.

Rabu, 15 April 2020

7 cara mengumpul pahala melalui melancong

Sekalipun melancong, anda tetap boleh mengumpul pahala melalui aktiviti pelancongan. Tidak susah mengumpul pahala jika anda tahu asasnya. Sekalipun duit habis untuk berbelanja ketika melancong tetapi hati gembira malah pahala tetap ada untuk kebaikan dunia dan akhirat.

1) Niatkan perjalanan untuk tujuan yang baik
Setiap sesuatu dimulakan dengan niat. Tanpa niat sesuatu perkara mudah terpesong daripada apa yang dirancang. Beruntung menjadi muslim. Hanya dengan niat, dapat pahala. Setiap kali merancang sesuatu perjalanan, niatkan musafir untuk perkara yang baik. Sekalipun perjalanan tersebut atas urusan kerja, perniagaan atau semata-mata melancong.

2) Jaga iktilat (batas pergaulan sesama jantina)
Melangkah keluar dari negara sendiri menuju ke destinasi pelancongan luar negara, pelbagai perkara perlu dihadapi. Apa pun keadaan dan situasi yang bakal dihadapi, usahakan untuk menjaga batas pergaulan sesama jantina atau berlainan jantina serta tatasusila sebagai muslim. Islam mengariskan pergaulan antara lelaki sama lelaki atau lelaki dengan perempuan tetap ada batas sempadan sekalipun anda berada di negara orang.

3) Pelihara aurat
Semasa melancong kita mungkin pernah berhadapan dengan perbezaan cuaca. Hidup dalam kebiasaan cuaca yang tidak sejuk dan tidak panas adalah satu nikmat bagi warga Malaysia. Namun di negara luar, cuacanya tidak sama dengan negara ini. Cuaca terlalu panas menguji iman wanita muslim. Menutup aurat dalam keadaan cuaca luar biasa panas amat mengugat iman. Manusia diberi pahala sesuai dengan kesukaran yang dihadapi. Semakin sukar untuk menutup aurat, semakin banyak pahala. Maka, tetapkan iman untuk terus menutup aurat jika berkunjung ke negara –negara luar pada musim panas.

4) Jangan tinggal solat
Ketika bermusafir sama ada untuk melancong, muslim diberikan kelonggaran untuk melaksanakan solat secara jamak, qasar atau jamak dan qasar. Inilah kemudahan yang diberikan oleh Islam bagi meringankan beban solat untuk solat 5 kali sehari. Rebur peluang ini sebaiknya untuk terus bersolat sekalipun secara jamak atau qasar ketika melancong. Ruksah solat ini bukti islam adalah agama yang memberi kemudahan dan kesenangan kepada umatnya dalam apa jua keadaan.

5) Hubungkan silaturahim dengan masyarakat setempat
Mengenali budaya masyarakat setempat akan memberikan perspektif baru kepada minda. Minda lebih terbuka menerima perbezaan individu malah perbezaan merentas budaya, negara, agama, bahasa dan sebagainya. Pengalaman sebegini membantu untuk hidup dalam masyarakat yang berbilang agama di Malaysia. Toleransi dalam kehidupan berbilang budaya adalah sebahagian ajaran Islam. 2 kabilah yang berbeza iaitu Aus dan Khazraj pernah mencapai perdamaian dan  hidup bertoleransi di zaman Nabi Muhammad sehingga dicemburui oleh pihak Yahudi.

6) Ziarah perkampungan muslim atau melayu
Islam  telah pun tersebar ke serata alam. Umat islam berada di mana-mana diatas bumi. Islam memandang muslim sesame muslim adalah bersaudara. Hubungkan tali persaudaraan muslim di negara yang dilawati. Begitu juga rumpun Melayu yang banyak terserak di negara- negara luar. Komuniti melayu telah menjadi minoriti di negara-negara seperti Australia, Thailand, Filipina, Myammar, dan sebagainya. Sabda nabi:
“Barangsiapa ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”. (Hadis Riwayat Anas)

7) Ziarah masjid
Dalam hadis nabi, disebutkan ada 3 masjid yang perlu di ziarah bagi orang muslim iaitu.
Tidak sepatutnya keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali) pergi ke tiga masjid berikut iaitu masjidil haram di mekah, masjid rasul (masjid an nabawi di madinah dan masjidil aqsa di palestin. (hadis riwayat bukhari).

Mana-mana muslim yang berkemampuan untuk menjejakkan kaki ke  negara sila berbuat demikian. Namun bagi yang belum berkesempatan, usahakan untuk menjejak kaki ke setiap masjid di mana-mana negara lawati. Nabi bersabda:
“Daripada Abu Qatadah Rasulullah bersabda “ apabila seseorang di antara kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga dia mengerjakan 2 rakaat solat tahiyatul masjid”.
Semoga 2 rakaat solat tahiyatul masjid di negara-negara yang dilawati menjadi saksi bahawa anda adalah muslim beriman.


Sabtu, 4 April 2020

Keenakan murtabak resepi asli di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur

Keenakkan murtabak menggunakan resepi asli tidak perlu diperkenalkan lagi. Bagi yang pernah merasai kelazatannya pastinya akan kembali membelinya. Menu ini sangat mudah dijumpai, kebiasaannya dijual di pasar malam. Bagi warga kuala lumpur yang ingin merasai murtabak enak dan lazat dengan rasa asli murtabak boleh membeli dari gerai Ana terletak di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Tidak susah untuk mencari gerai ini kerana ia satu-satunya gerai yang menjual murtabak betul-betul berhadapan dengan ruang masuk utama pasar tersebut dan bersebelahan dengan Balai Polis Bot, Kuala Lumpur.


                           

Dengan harga serendah RM 4 sebiji, anda dapat menikmati kelazatan murtabak asli dengan isi daging/ayam yang penuh dan padat bersama-sama adunan rempah ratus khusus untuk murtabak. Keenakan murtabak disini tidak dapat dinafikan lagi. Rasa rempah murtabak dan inti daging/ayam memang sedap dan mempunyai rasanya tersendiri. Jika anda ingin merasai murtabak dengan rasa asli, gerai ini adalah pilihan tepat.


Murtabak disini dihidangkan bersama kuah cuka bersama bawang. Hidangan kuah cuka adalah signature murtabak versi Malaysia. Bagi orang Singapore, murtabak mereka dimakan bersama dengan kuah kari. Tetapi bagi rakyat Malaysia, murtabak cukup dimakan bersama kuah cuka. Masam manis kuah cuka sudah cukup membangkitkan selera untuk menikmati sekeping murtabak. Inilah rupa sebenar hidangan murtabak versi Malaysia.



Cari

Like Us

Hot in week

Recent

Comments

Follow Instagram

Translate

index